Rabu, 9 September 2009

Sejarah Penubuhan GPMS *bahagian3

Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution 1945

Penggunaan Bahasa Inggeris dan pemusatan sekolah di Bandar-bandar adalah dua (2) ciri utama dalam sistem persekolahan menengah dan tinggi kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Akibat dari keadaan ini bilangan pelajar Melayu amatlah kecil di kedua-dua peringkat persekolahan tersebut.
Kekurangan pelajar Melayu di peringkat persekolahan menengah amat nyata. Pada tahun 1947 misalnya, dari jumlah keseluruhan orang Melayu dan bilangannya 2,162,031 hanya seramai 9,609 orang yang terdidik di peringkat menengah sedangkan pada masa yang sama dari jumlah penduduk Cina 1,184,534 seramai 30,107 orang bersekolah menengah manakala jumlah penduduk India dari jumlah keseluruhan 530,638 yang telah sampai ke peringkat persekolahan menengah adalah seramai 14,080 orang.

Kekurangan pelajar Melayu di peringkat menengah ini amat dirasakan bilamana sekolah­sekolah dibuka kembali selepas Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu ramai penuntut Melayu terpaksa berhenti akibat dari kesempitan hidup dan umur yang sudah melewati dari had yang dibolehkan untuk bersekolah. Keadaan kurangan ini telah berlaku di Victoria Institution Kuala Lumpur pada tahun 1945 di mana hanya terdapat seramai sebelas (11) orang pelajar Melayu yang dapat melanjutkan pelajaran mereka di peringkat persekolahan School Certificate.

`.... bila kami mula lihat keliling hanya ada sepuluh (10) orang pelajar Melayu, kami mula tertanya-tanya sesama sendiri. Sebelum perang boleh dikatakan ramai juga anak-anak bangsa kita yang sama-sama belajar. Kami pun bersama-sama mengambil inisiatif menyelidik sebab-sebab terjadinya keadaan tersebut '. Dari kajian yang telah mereka jalankan, mereka dapati bahawa kemiskinan, tempat tinggal dan kepimpinan menjadi sebab utama mengapa pelajar Melayu tidak meneruskan pengajian mereka.

Setelah mengetahui latar belakang kejadian yang mengakibatkan kekurangan pelajar Melayu itu, para pelajar tersebut telah menubuhkan sebuah badan pelajar yang bergerak di kawasan sekolah yang diberi nama Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution yang bertujuan membantu mana-mana pelajar Melayu yang memerlukan bantuan. Beberapa ketika setelah penubuhannya, kegiatan pelajar tersebut telah merebak ke kawasan luar sekolah iaitu di sekolah-sekolah lain di sekitar Kuala Lumpur.

Keadaan ini berlaku setelah tiga (3) bulan ianya berjalan di mana pelajar-pelajar Melayu di sekolah lain telah menyatakan keinginan untuk turut bersama memperjuangkan nasib rakan-rakan mereka. Hasil dari keadaan-keadaan ini maka Kesatuan yang telah ditubuhkan pada 20 November 1945 itu telah bertukar menjadi Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Kuala Lumpur. Hal ini berlaku pada 11 Februari 1946.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More