SEJARAH PENUBUHAN GPMS
Kemunduran bangsa Melayu di bidang ekonomi, sosial dan politik telah menjadi pendorong yang kuat ke arah penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 14 dan 15 Ogos 1948. Atas hasrat untuk mengatasi segala kekurangan tersebut maka telah berkumpul beberapa orang pelajar Melayu Maktab,Raffles dan Maktab Perubatan Singapura bagi menaja penubuhan sebuah badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan semua badan pelajar yang sedia wujud ketika itu.
Kesedaran orang Melayu khususnya di kalangan pelajar tentang kemunduran dalam tiga (3) lapangan hidup tersebut telah bermula sejak awal tahun 1900 lagi. Sekitar tahun 1906 satu percubaan radikal untuk merubah cara fikir dan nilai-nilai hidup yang dianggap merugikan seperti halangan yang dikenakan kepada anak gadis untuk bersekolah dan sikap yang tidak menggalakkan anak-anak muda yang terdidik di Timur Tengah. Ada pun yang anak-anak tersebut dan yang terkemuka ialah Syed Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Salim Al Kalali.
Di bidang ekonomi pula, seorang pemikir muda iaitu Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) telah menulis satu rencana khas tentang kemiskinan orang Melayu sebagaimana yang tersiar dalam Al Ikhwan pada 16 Mac 1927. Manakala di bidang politik telah bangkit satu angkatan pelajar dari Sultan Idris Training College (SITC) yang telah bekerja keras dalam usaha mereka membebaskan negara dari belenggu penjajahan. Dengan mendapat asuhan semangat dari guru-guru muda seperti Abdul Hadi Hassan dan Harun Aminurashid, para pelajar tersebut yang diketuai oleh Ibrahim Haji Yaacob telah merintis perjuangan siasah secara kolektif.
Walau bagaimanapun, semua tuntutan dan perjuangan tersebut telah menjadi semakin berkesan hanya setelah tamatnya Peperangan Dunia Kedua, di mana pada masa itu satu kesedaran nasionalisme telah menjadi social force akibat berlakunya penyebaran idea mengenai kemerdekaan dan pembangunan. Kemenangan Jepun dalam peperangan tersebut dan hasrat Inggeris untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara jajahan dengan konsep 'Kesatuan Malaya' telah menumbuhkan secara spontan satu peribadi Melayu yang mementingkan rasa ketuanan di negara sendiri.
Sebenarnya GPMS telah pun melalui empat (4) peringkat masa iaitu dengan penubuhan beberapa kumpulan pelajar Melayu yang dengan sedar telah berusaha meningkatkan kualiti pelajaran dan pendidikan orang Melayu.
Peringkat Pertama ialah pada tahun 1937 di mana telah tertubuhnya 'Malay Boys League' di Penang Free School ; Kedua, pada tahun 1945 dengan tertubuhnya 'Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution' ; Ketiga, pada tahun 1947 iaitu dengan tertubuhnya 'Kesatuan Penuntut Melayu Selangor' ; dan Keempat, pada tahun 1948 apabila tertubuhnya 'Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)'.
Rabu, 9 September 2009
Sejarah Penubuhan GPMS *bahagian1
9:46 PTG
gpmsUUM
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan